KUALA LUMPUR, 19 Jun - Menjelang Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember ini, kem terjun negara terus giat menjalani persiapan rapi meskipun menggunakan pendekatan berbeza berbanding edisi sebelum ini.
Pengarah Teknikal Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee memaklumkan, beberapa penerjun pelapis akan diberi peluang menyertai kejohanan tersebut.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja bertujuan memberi pendedahan awal kepada penerjun baharu, malah turut menjadi medan untuk menilai kemampuan mereka di pentas lebih tinggi seperti Sukan Asia dan temasya Olimpik.
"Seperti biasa, skuad terjun telah membuat persiapan rapi, namun kali ini pendekatannya berbeza berbanding Sukan SEA sebelum ini, kerana kami akan menurunkan lebih ramai atlet pelapis, khususnya dalam kalangan penerjun muda, untuk kejohanan kali ini,
"Kami sentiasa menekankan kepada penerjun baharu untuk mendapatkan pengalaman terlebih dahulu sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA. Namun, kebanyakan penerjun yang menyertai kejohanan dunia kali ini sebenarnya turut menjadikannya sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA," katanya.
Ken Nee tetap meletakkan sasaran meraih pingat pada Sukan SEA 2025, dengan fokus utama diberikan kepada acara teras seperti papan anjal 1 meter dan 3 meter.
Beliau turut memuji prestasi penerjun muda, Elvis Priestly, yang konsisten mencatatkan skor kelayakan minimum (MQS) dalam kedua-dua kategori umur dan terbuka, sekali gus menunjukkan potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, Ken Nee memaklumkan tiada pengambilan jurulatih baharu akan dilakukan buat masa ini kerana kuota yang diperuntukkan telah dipenuhi.