fb fb fb fb fb

Projek ‘Elite Games’, cungkil pelapis Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe dan Mohd Nafuzi Zain mengadakan sidang media mengenai Projek "The Elite Games" di Wisma FAM - Foto FB FAM

KELANA JAYA, 19 Jun - Seramai 26 pemain muda akan menyertai projek 'The Elite Games' yang diperkenalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai inisiatif mencungkil bakat berpotensi bagi memperkukuh skuad Harimau Malaya pada masa depan.

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Mohd Nafuzi Zain berkata, program itu juga adalah persiapan awal menjelang pemilihan 30 pemain ke kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 di Jakarta bulan depan.

Menurutnya, program The Elite Games akan berlangsung dari 24 hingga 26 Jun ini.

1906 SKN FAM PROJEK ELITE GAMES 2Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Mohd Nafuzi Zain - Foto FB FAM

"Kita ada mempunyai kelompok pemain (muda) yang agak ramai, jadi di sini kita memberi ruang kepada semua pemain untuk kita memilih yang terbaik untuk ke Jakarta.

"Saya rasa Elite Games ini adalah platform untuk kita menilai pemain dan mencari bakat-bakat baharu yang kita beri ruang. Daripada situ kita pilih yang terbaik dan akan panggil pada 1 julai nanti untuk kem latihan," katanya dalam sidang media di Wisma FAM, di sini hari ini.

Bercakap mengenai sasaran di Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025, Mohd Nafuzi yang pertama kali mengendali skuad kebangsaan, mahu membawa anak buahnya hingga ke peringkat akhir.

"Semestinya sasaran saya secara peribadi untuk kejohanan pertama adalah peringkat tertinggi iaitu ke peringkat akhir.

"Tetapi kita perlu lepasi peringkat awal dulu dan memastikan layak ke separuh akhir," katanya.

Beliau berkata, kem latihan pusat dijadual bermula 1 hingga 12 Julai ini sebelum skuad negara berlepas ke Jakarta pada 13 Julai.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei dengan skuad negara bakal memulakan kempen bertemu Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei (18 Julai), sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang Indonesia (21 Julai).

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 25 Julai, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan final berlangsung pada 29 Julai.

1906 SKN FAM PROJEK ELITE GAMES 3Pengarah Teknikal Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe - Foto FB FAM

Sementara itu, Pengarah Teknikal Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, idea penganjuran Elite Games tercetus hasil perbincangannya bersama ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski dan Mohd Nafuzi.

Menurutnya, projek berkenaan juga menjadi platform awal bagi persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dari 3 hingga 9 Sept ini serta Sukan SEA 2025 di Thailand, bermula 9 hingga 20 Disember depan.

"Itu sebab kami lahirkan idea projek Elite Games supaya kalau ada masa yang diizinkan kita akan jalankan setiap bulan. Bukan sahaja bawah 23, tetapi termasuk bawah 20 dan juga bawah 18," katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK