FLORIDA, 20 Jun - Pasukan Manchester City yang sedang menjalani sesi latihan di sini, menjelang perlawanan Piala Dunia Kelab menentang Al-Ain minggu depan, menerima berita buruk apabila didenda oleh Liga Perdana Inggeris.
Kelab berkenaan dimaklumkan mereka telah didenda £1.08 juta (RM6.19 juta) kerana melanggar peraturan berkaitan kelewatan sepak mula dan permulaan semula permainan sebanyak sembilan kali musim lalu.
Denda ini dikenakan setahun selepas mereka membayar £2 juta atas kesalahan sama sebelum ini.
Kelab itu mengakui kesalahan tersebut dan telah memohon maaf, selain mengingatkan pemain dan staf mereka tentang tanggungjawab mematuhi peraturan.
“Peraturan berkaitan sepak mula dan permulaan semula membantu memastikan pengurusan pertandingan dijalankan secara profesional dan memastikan siaran setiap perlawanan berjalan mengikut jadual,” menurut kenyataan Liga Perdana Inggeris.
Denda berkenaan dikenakan bagi perlawanan di tempat sendiri menentang Southampton, Tottenham, Nottingham Forest, Manchester United, West Ham dan Newcastle, serta perlawanan di tempat lawan menentang Crystal Palace, Aston Villa dan Ipswich Town.
Kelewatan paling lama ialah 2 minit 22 saat semasa perlawanan menentang West Ham dan Ipswich.
Sementara itu, City juga masih menunggu keputusan siasatan terhadap 115 tuduhan berasingan berkaitan pelanggaran Peraturan Kewangan Adil (FFP), yang melibatkan tempoh dari tahun 2009 hingga musim 2022-2023.
City bagaimanapun menafikan sebarang salah laku. - REUTERS