NEW JERSEY, 20 Jun - Kelab dari Brazil, Palmeiras berjaya menumpaskan Al Ahly dari Mesir 2-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan A, Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife, di sini hari ini.
Bagaimanapun perlawanan itu tertangguh selama 50 minit susulan ancaman cuaca ribut.
Gol-gol Palmeiras dijaringkan dalam tempoh 10 minit separuh masa kedua.
Jaringan pertama terhasil pada minit ke-49 selepas pemain Al Ahly, Wessam Abou Ali, tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan sepakan percuma oleh Anibal Moreno.
Pemain Al Ahly, Wessam Abou Ali, tertanduk bola ke gawang sendiri - Foto AFP
Sepuluh minit kemudian, Palmeiras menambah jaringan melalui serangan balas pantas yang disudahkan dengan kemas oleh Jose Manuel Lopez, yang baharu dimasukkan pada separuh masa kedua.
Selepas gol kedua, pengadil dari England, Anthony Taylor, menghentikan perlawanan dan mengarahkan kedua-dua pasukan keluar padang.
Penonton juga diminta meninggalkan tempat duduk dan berlindung di bawah stadium kerana ancaman cuaca buruk, walaupun tiada tanda jelas ribut berlaku.
Selepas 30 minit, penonton dibenarkan kembali ke tempat duduk dan perlawanan disambung semula selepas 50 minit tertangguh dengan Palmeiras mengekalkan penguasaan permainan hingga wisel penamat.
Kemenangan itu membolehkan Palmeiras menduduki tangga teratas Kumpulan A, berkongsi empat mata dengan Inter Miami yang ditangga kedua.
Mankala Al Ahly yang sebelum ini seri 0-0 dengan Inter Miami ditangga terakhir kumpulan dan FC Porto ditangga dengan kedua-duanya mengumpul satu mata. - REUTERS