fb fb fb fb fb

Selangor FC mara ke separuh akhir Piala FA

(Foto Selangor FC)

SEREMBAN, 28 Mei- Selangor FC mara ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas membenam pasukan tuan rumah Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-1 pada perlawanan suku akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.

Permulaan yang cukup bertenaga dipamerkan kedua-dua pasukan apabila berhasil mencipta gol dalam tempoh tiga minit pertama permainan dengan Negeri Sembilan terlebih dahulu di hadapan menerusi tandukan tepat pemain import Muhammad Safwan Baharuddin selepas 43 saat aksi bermula.

Skuad Gergasi Merah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan dengan rembatan kencang ketua pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ketiga yang memanfaatkan gerakan dan hantaran tepat Mohamad Faisal Abdul Halim.

Meskipun Negeri Sembilan terhimpit dengan kekurangan pemain import, namun pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan K. Devan yang berhasil mencipta beberapa percubaan bahaya antaranya sepakan lambung pemain import Casagrande pada minit ke-39.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan perlawanan itu sebagai satu saingan sengit berdepan dengan pasukan tuan rumah.

"Ia satu persembahan dan satu perlawanan agak sengit untuk kita kerana dibolosi gol pada minit pertama. Ia sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pasukan dan kelancaran permainan di separuh masa pertama tetapi mentaliti ditunjukkan setiap pemain pada babak kedua cukup baik dan komited setiap minit perlawanan separuh masa kedua," katanya kepada pemberita di sini.

Manakala, Ketua Jurulatih NSFC, K. Devan mengakui pasukan lawan mempunyai prestasi baik sementara pasukannya juga mampu bertahan dengan baik meskipun pasukan lawan menguasai permainan.

"Keseluruhan kita kalah kepada kumpulan lebih baik daripada kita. Itu kita mengakui dan saya rasa di separuh masa pertama kita bertahan baik walaupun pasukan Selangor menguasai permainan tetapi kita jarang beri peluang kepada mereka," katanya.


(Foto Selangor FC)

Media Baharu