fb fb fb fb fb

Belum rezeki Pearly-Thinaah di Masters Malaysia

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah kempunan untuk merangkul kejuaraan pertama mereka di laman sendiri meski berjuang berhabis-habisan selepas tewas pada aksi final Masters Malaysia 2023.

Bertemu gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee, beregu negara tampil selaku bukan pilihan.

Pada set pertama ketika pasangan negara mendahukui 19-16, aksi terpaksa dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada Pearly untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di betis kirinya.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya, pasangan Korea Selatan untuk mengejar mata dan menamatkan saingan set pertama dengan kemenangan 22-20.

Sokongan dan sorakan gemuruh penonton yang memenuhi Axiata Arena hari ini membakar semangat Pearly-Thinaah untuk bangkit menguasai perlawanan kedua dengan 21-8 untuk mengheret kepada perlawanan penentuan.

Ketinggalan 10-16, pasangan negara cuba bangkit untuk mengejar kedudukan namun ternyata kehebatan wakil Korea Selatan itu lebih terserlah untuk menamatkan set penentuan dengan kemenangan 21-17 dalam saingan sepanjang satu jam 41 minit.

Selaku naib juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$15,960 manakala juara, Ha Na-See Hoo memperolehi AS$33,180 berserta trofi.

Kali terakhir beregu wanita meraih kejuaraan pada Masters Malaysia adalah pada edisi 2012 menerusi gandingan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty yang menewaskan lawan dari Singapura Shinta Mulia Sari-Yao Leo 21-18, 21-18.

Sementara itu, dalam acara beregu lelaki wakil negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae .

Tewas 15-21 di set pembukaan, pasangan negara bangkit di set kedua, untuk memenangi perlawanan dengan 22-20 sekali gus mengheret kepada aksi set penentuan.

Selepas mendahului 11-10, pertarungan menjadi semakin sengit apabila terikat 18-18 sebelum pukulan Wei Chong mendarat sasar daripada garisan yang memberikan mata kemenangan 21-19 sekali gus terlepas gelaran juara kepada wakil Korea Selatan.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu