fb fb fb fb fb

Selangor FC, Cheng Hoe capai persetujuan tamat kontrak serta-merta

Foto FB Malayantigerfans

SHAH ALAM, 28 Februari - Pasukan bolasepak Selangor FC (SFC) akan memulakan musim 2024/25 tanpa sentuhan Tan Cheng Hoe selepas pengendali itu mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya secara serta-merta.

SFC dalam satu kenyataan menjelaskan pasukan sudah dimaklumkan mengenai keputusan Cheng Hoe untuk meninggalkan skuad 'The Red Giants' bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih di sebuah kelab di Thailand.

SFC juga memaklumkan sudah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak Cheng Hoe.

Pasukan itu juga ingin berterima kasih kepada Cheng Hoe atas usaha dan sumbangan beliau untuk kelab dan mengucapkan selamat maju jaya.

Ketika ini Nidzam Jamil dilantik sebagai ketua jurulatih sementara dan pada masa yang sama, pihak pengurusan kelab akan menjalankan proses pemilihan terperinci bagi melantik ketua jurulatih yang baharu.

Sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe berjaya membantu SFC menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan juga naib juara Liga Super Malaysia 2023.

Ini sekali gus memastikan pasukan itu layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 untuk musim 2024/2025.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD