BERLIN, 28 Februari - Ketua Pegawai Eksekutif Borrusia Dortmund, Hans-Joachim Watzke berkata kedudukan empat terbaik dalam saingan Bundesliga musim ini tetap menjadi keutamaan kelab berkenaan.
Disebalik prestasi cemerlang Borussia Dortmund pada kempen Liga Juara-Juara musim ini, pasukan berkenaan dilihat gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan pada saingan domestik terutamanya Bundesliga.
Pasukan tersebut kini berada di tangga keempat dengan 41 mata mengatasi RB Leipzig dan ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu liga, Bayer Leverkusen. Empat pasukan teratas liga akan layak secara automatik ke pertandingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan.
"Ini merupakan satu tugas getir memandangkan kini hanya tinggal 11 perlawanan liga ", kata Watzke pada sidang media menerusi video dari pejabat kelab berkenaan di Amerika Syarikat (AS).
"Kami kini berada dalam kedudukan empat teratas, tetapi ia agak sukar", kata Watzke.
Watzke turut berkata kehilangan kejuaraan pada saat-saat akhir pada musim lalu masih dirasai pasukan tersebut.
Keadaan itu menyebabkannya tidak berasa yakin dengan peluang Dortmund bagi mencabar kejuaraan liga musim ini.
"Anda dapat rasakan seolah-olah kejuaraan liga sudah di dalam tangan, namun, kamu tidak menang.
"Ini merupakan masalah besar yang dihadapi para pemain Dortmund dan jurulatih.
"Bagi musim ini, saya tidak terlalu optimis bahawa pasukan akan kompetetif. Kami tidak bermain dengan bagus. Pasukan kami seolah-olah 'mempunyai dua wajah', tambah Watzke.-Reuters