SEOUL, 28 Februari - Korea Selatan telah melantik Hwang Sun-hong sebagai jurulatih sementara menggantikan Jurgen Klinsmann yang dipecat susulan kekalahan pasukan tersebut di separuh akhir Piala Asia dan pendedahan pergaduhan antara pemain-pemain bintang Korea Selatan.
Hwang, sebelum ini membimbing skuad bawah 23 tahun negara itu memenangi pingat emas sukan Asia di Hangzhou, akan memulakan tugas bulan depan dengan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Thailand di laman sendiri dan di tempat lawan.
Persekutuan Bola Sepak Korea Selatan berkata mereka berharap agar dapat melantik jurulatih sepenuh masa sebelum pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Singapura dan China pada Jun.
Menurut KFA, jurulatih Jerman yang pernah memenangi gelaran Piala Dunia itu didapati gagal menunjukkan keupayaan mengurus selain tidak mempuntai kepimpinan yang diharapkan sebagai ketua jurulatih.
Hwang akan turut memegang jawatan sebagai jurulatih bawah 23 Korea Selatan dan mengetuai pasukan berkenaan pada Piala Asia bawah 23 yang bakal berlangsung di Qatar April ini yang menawarkan tempat ke Olimpik Paris.
Pengendali berusia 55 tahun yang juga merupakan bekas penyerang Korea Selatan itu telah mewakili skuad berkenaan pada tiga kejohanan Piala Dunia sebelum ini.-AFP