Petaling Jaya, 28 Februari - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan atlet pelari menara nombor satu dunia Soh Wai Ching bagi mempromosi bandar raya ini kepada masyarakat dunia.
Melalui MoU yang ditandatangani itu, MBPJ memberikan tajaan sejumlah RM75,000 kepada Soh Wai Ching bagi meneruskan penyertaan beliau di peringkat antarabangsa dan seterusnya mengekalkan kejuaraan yang disandang sebelum ini.
Tujuan MoU diadakan untuk mempromosikan Bandar Petaling Jaya sebagai sebuah bandar yang Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan.
Pada masa sama menjadikan bandar raya Petaling Jaya sebagai sebuah destinasi pelancongan yang boleh dilawati oleh pengunjung seluruh dunia yang menyediakan lokasi-lokasi pelancongan menarik, kepelbagaian jenis makanan dan kemudahan-kemudahan lain kepada pengunjung.