fb fb fb fb fb

Shah Firdaus bakal beraksi di UCI 2024 di Hong Kong

Muhammad Shah Firdaus memenangi Anugerah Olahragawan Johor 2023 Majlis Anugerah Sukan Johor ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Persada Johor, di sini, malam tadi.

JOHOR BAHRU, 29 Februari- Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bakal beraksi di Piala Negara-negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 (Nation Cup) di Hong Kong, bermula 5 Mac depan.

Beliau berkata, itu merupakan kejohanan terakhir yang akan disertai, sebelum berlepas ke Australia untuk mengikuti kem latihan bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya akan menganggap semua kejohanan adalah penting bagi memastikan prestasi semasa berada pada tahap terbaik dan akan menjadikan kesilapan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi minggu lepas sebagai pengajaran," katanya

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Johor ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Persada Johor, di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut, anak jati Muar itu dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Olahragawan Johor 2023, manakala Anugerah Olahragawati Johor 2023 dimenangi atlet menembak negara, Nurul Syasya Nadiah Mohd Ariffin.

Anugerah berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Mohd Hairi berkata, Muhammad Shah Firdaus dipilih sebagai pemenang anugerah itu kerana pencapaian beliau yang telah menempa nama bagi sukan berbasikal dengan mendapat ranking ke-12 bagi acara keirin dan sprint pada Sukan Olimpik Tokyo 2021 serta meraih pingat gangsa dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Sementara katanya pemilihan Nurul Syasya Nadiah pula atas kemenangan beliau merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2022 dan menyumbang empat pingat emas semasa Sukan Malaysia (SUKMA) MSN XX 2022 di Kuala Lumpur.

"Dalam ASJ kali ini, sebanyak 14 anugerah diberikan kepada atlet serta penggerak sukan dan diharap dapat menjadi inspirasi serta pemangkin buat atlet lain untuk lebih baik selepas ini, sekali gus menjulang nama Johor di peringkat tempatan mahupun di luar negara," katanya ketika berucap.

Kedua-dua jaguh sukan berkenaan masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 bersama trofi.

ZEHRA BINTI ZAMBRI