AMPANG, 21 Jun- Sebagai bekas pemain yang pernah menjulang era kegemilangan bersama Pahang, Datuk Zainal Abidin Hassan tidak menafikan perasaannya bercampur-baur mengenangkan pasukan yang pernah diwakilinya itu kini tidak lagi bersaing di pentas utama bola sepak negara.
Jelas beliau, meskipun Sri Pahang tidak menyertai saingan Liga Malaysia bagi musim 2025/2026, sokongan peminat dan usaha berterusan daripada pemain-pemain muda berpotensi menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula skuad Tok Gajah.
“Saya amat sedih. Saya beraksi cukup lama sebagai pemain Pahang dan membawa pasukan itu muncul juara Piala Malaysia pada tahun 1983, tahun pertama saya berhijrah ke Pahang. Sekarang, 2025, Pahang tidak berada dalam bola sepak tempatan, sangat menyedihkan bagi saya dan seluruh penyokong Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Klinik Bola Sepak bersama Lagenda Bola Sepak Negara di Ampang Jaya, hari ini.
Tambah Datuk Zainal, semangat juang serta kepercayaan terhadap kemampuan diri perlu terus dipupuk dalam kalangan pemain belia di Pahang agar mereka dapat membuktikan kelayakan untuk diketengahkan dalam program pembangunan bola sepak negara.
“Pertama, mereka jangan putus asa. Yang kedua, mereka mesti membuktikan bahawa mereka berhak berada dalam program belia ini. Mereka ada kualiti, ada potensi. Insya-Allah, kita tak tahu, mungkin tahun depan mereka kembali,” katanya.
Beliau juga percaya bola sepak Pahang mampu bangkit semula dan kembali mewarnai kancah liga domestik dengan sokongan penuh daripada peminat dan pengurusan yang komited.
Dalam masa sama, Datuk Zainal turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran program pembangunan bola sepak peringkat akar umbi yang disifatkannya sebagai medan utama mencungkil bakat baharu bola sepak negara.
“Saya alu-alukan program sebegini (Program Klinik Bola Sepak bersama Lagenda Bola Sepak Negara). Saya sendiri lahir daripada program akar umbi. Saya ucapkan tahniah kepada WRA FC dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya kerana menganjurkan program yang baik ini," katanya lagi.
Walaupun telah bersara daripada lapangan bola sepak, Datuk Zainal menegaskan beliau akan terus berbakti dan mencurahkan ilmu demi melihat impian besarnya menjadi kenyataan iaitu menyaksikan Malaysia beraksi di pentas tertinggi dunia.
“Bola sepak dah jadi darah daging saya. Sebab itu saya tidak pernah ‘bersara’. Saya mahu terus berbakti dan berkongsi pengalaman. Saya nak tengok pasukan kebangsaan kita bermain di Piala Dunia. Itu impian dan hasrat tertinggi saya,” katanya.