fb fb fb fb fb

Piala Negara-Negara FIH 2025: New Zealand jumpa Pakistan di pentas akhir

New Zealand, menempah slot ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH 2025 selepas menewaskan Korea Selatan 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Jun- Juara bertahan, New Zealand, menempah slot ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH 2025 selepas menewaskan Korea Selatan 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti dalam aksi separuh akhir yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pertembungan mendebarkan itu menyaksikan aksi seimbang antara kedua-dua pasukan, apabila perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 dalam tempoh 60 minit permainan sebenar.

Skuad Black Sticks terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan padang Jonty Elmes pada minit ke-10, disusuli jaringan kedua oleh Dylan Thomas sembilan minit kemudian untuk mendahului 2-0.

Namun, Korea Selatan tidak mudah mengalah apabila bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Lim Dohyun pada minit ke-25, sebelum Yang Jihun menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-37.

Kemenangan itu menyaksikan New Zealand bakal membuat perhitungan menentang Pakistan dalam aksi final yang dijadual berlangsung malam ini.

Pakistan sebelum itu turut mencatat kemenangan penuh dramatik selepas menundukkan Perancis 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti, dalam satu lagi aksi separuh akhir. Kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam masa penuh perlawanan.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE