fb fb fb fb fb

K-League buka semula pintu kepada penjaga gol import bermula 2026

FOTO HIASAN

SEOUL, 21 Jun- Buat pertama kali dalam tempoh 27 tahun, kelab-kelab K-League akan dibenarkan mendaftarkan penjaga gol asing bermula musim 2026, menurut kenyataan rasmi liga bola sepak utama Korea Selatan itu.

Larangan tersebut mula dikuatkuasakan pada tahun 1999, ketika liga hanya mempunyai lapan pasukan, sebagai langkah memastikan penjaga gol tempatan mendapat peluang beraksi secara konsisten.

Kini, dengan 12 pasukan bertanding dalam K-League 1 dan penambahan divisyen kedua (K-League 2) sejak 2013, liga memutuskan sudah tiba masanya dasar itu dikaji semula.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat lembaga pengarah pada Khamis lalu, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor, antaranya:

“Kedudukan penjaga gol yang sangat khusus menjadikan pemain tempatan dalam posisi ini menerima gaji yang jauh lebih tinggi berbanding pemain di posisi lain. Larangan terhadap pemain asing sebagai penjaga gol juga menyumbang kepada ketidakseimbangan pasaran,” jelas pihak liga.

Tambah kenyataan itu lagi, peningkatan jumlah kelab sejak 1999 juga memberi jaminan bahawa penjaga gol tempatan masih akan mempunyai ruang beraksi, walaupun kelab kini dibenarkan menggunakan khidmat penjaga gol import.

Berikutan itu, mulai musim 2026, klausa yang mewajibkan penjaga gol mestilah pemain domestik akan digugurkan daripada garis panduan pertandingan rasmi K-League 1 dan K-League 2.

Keputusan ini dijangka membuka peluang lebih luas kepada pemain antarabangsa serta mencetuskan persaingan sihat di antara penjaga gol tempatan dan luar negara dalam kancah bola sepak Korea Selatan.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE