MIAMI, 21 Jun- Bayern Munich kembali menghidupkan maruah bola sepak Eropah di pentas Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Boca Juniors 2-1 dalam aksi penuh intensiti dan emosi di Stadium Hard Rock, awal pagi tadi.
Berbekalkan sokongan padu penyokong biru-kuning yang mengubah suasana stadium seperti “La Bombonera”, pasukan Argentina itu memberi tentangan sengit, namun kecekalan skuad Die Roten akhirnya membuahkan hasil untuk membawa mereka ke puncak Kumpulan C dengan enam mata, dua mata di hadapan Benfica.
Harry Kane membuka tirai jaringan seawal minit ke-18 menerusi penyudah tenang di penjuru bawah gawang selepas menerima hantaran lintang Konrad Laimer, sekali gus menebus kegagalannya menjaringkan gol ketika membelasah Auckland City 10-0 sebelum ini.
Namun, Boca bangkit di babak kedua, memanfaatkan tekanan berterusan dan semangat juang tinggi. Sorakan bergema daripada ribuan penyokong Amerika Latin melonjak semangat pasukan, sebelum Miguel Merentiel menyamakan kedudukan pada minit ke-66 selepas memperdaya pertahanan Bayern dan merembat kencang melepasi Manuel Neuer.
Pertarungan semakin tegang dan seimbang, namun ketenangan Bayern kembali menguasai rentak pada minit ke-84 apabila Michael Olise meledak gol kemenangan hasil bantuan Kane, sekali gus menyekat kebangkitan Boca di hadapan penyokong sendiri.
Walaupun kekal dengan satu mata, Boca Juniors masih berpeluang untuk mara, dengan aksi terakhir menentang pasukan amatur, Auckland City, manakala Bayern akan berdepan ujian getir menentang Benfica dalam perebutan status juara kumpulan.
Kemenangan itu turut menjadi penawar buat kelab-kelab Eropah yang sebelum ini mengalami kekalahan termasuk Paris Saint-Germain, Porto dan Chelsea, sekali gus menyuntik kembali kredibiliti benua itu di pentas kejohanan berprestij berkenaan.-REUTERS