JAKARTA, 23 Ogos – Beregu lelaki negara, Mohd Firdaus Mohamad dan Ho Choon Seong, menghadiahkan pingat emas kedua buat skuad boling pekak Malaysia selepas menjuarai acara Beregu Lelaki (Men’s Doubles) di Sukan SEA Pekak 2025, di sini, hari ini.
Gandingan mantap itu menampilkan aksi konsisten dengan jumlah jatuhan pin keseluruhan 2,566, hasil sumbangan Firdaus (1,315) dan Ho (1,251).
Pingat perak menjadi milik wakil Filipina, George C. Maniozo dan Kristofferton Ivan Burgos, yang mencatat jumlah jatuhan pin sebanyak 2,307, manakala gangsa turut menjadi milik Malaysia menerusi pasangan Muhammad Haziq dan Muhammad Firdaus Ahmad dengan catatan 2,267 pin.
Kejayaan tersebut melengkapkan dominasi Mohd Firdaus yang turut membuka kempen cemerlang semalam apabila merangkul emas dalam acara Perseorangan Lelaki, manakala Ho pula menyumbang pingat perak buat kontinjen negara.
Sementara itu, dalam acara Beregu Wanita (Women’s Doubles), Malaysia meneruskan momentum kemenangan apabila pasangan Siong Mui Hong dan Siw Sing Hie turut menyumbang emas dengan jumlah jatuhan pin 2,218.
Pingat perak diraih pasangan Filipina, Maria Lovella Catalan dan Ma Cecelia Villacin, yang mengumpul 2,200 pin, manakala gangsa sekali lagi menjadi milik Malaysia menerusi Zuriana Roslan dan Huwainaa Danduan Abdullah dengan catatan 2,150 pin.
Skuad boling negara dijadualkan kembali beraksi esok dalam acara trio, dengan harapan menambah lagi kutipan pingat emas buat kontinjen negara.
