JAKARTA, 22 Ogos- Majlis perasmian Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 berlangsung penuh meriah di Gedung Olahraga Universitas Negeri Jakarta, menyatukan 270 atlet dan pegawai dari tujuh negara.
Setiap detik acara diterjemah jurubahasa isyarat, menzahirkan dunia tanpa bunyi tetapi sarat semangat dan harapan.
Kontinjen Malaysia hadir dengan 53 atlet diketuai Zaiman Megat Abu selaku pembawa Jalur Gemilang dan Ketua Kontinjen, Sarkunan Balakrisnan.
Malaysia menyasarkan 16 pingat emas menerusi lima acara termasuk olahraga, boling tenpin dan badminton.
Upacara rasmi diwarnai perarakan bendera, ikrar atlet serta penyalaan obor oleh atlet Deaflympics 2017, Ilham Achmad Turmudzi, menandakan temasya edisi kedua ini bermula sehingga 26 Ogos.
Temasya bukan sekadar perebutan pingat, malah pengiktirafan buat komuniti pekak serantau.