fb fb fb fb fb

Scaroni juara peringkat 16 Giro d’Italia

Christian Scaroni dari Pasukan XDS Astana melintasi garisan penamat untuk memenangi peringkat ke-16, bersama rakan sepasukan yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua. / Foto REUTERS

SAN VALENTINO, 28 Mei-Pelumba Itali, Christian Scaroni, meraih kemenangan dramatik di peringkat ke-16 Giro d’Italia pada Selasa, dalam perlumbaan yang menyaksikan pendahulu keseluruhan, Isaac Del Toro, kehilangan masa berharga kepada pencabarnya, manakala pilihan utama kejohanan, Primoz Roglic, menarik diri akibat kemalangan.

Scaroni dan rakan sepasukannya dari XDS Astana, Lorenzo Fortunato, melakukan pemisahan strategik pada pendakian terakhir sejauh 12.6km dengan purata kecerunan 8.3% untuk memastikan kemenangan satu-dua buat pasukan mereka. Giulio Pellizzari (Red Bull–Bora–Hansgrohe) menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, melengkapkan podium seratus peratus Itali.

“Saya sangat gembira dapat memenangi satu peringkat Giro d’Italia. Fortunato dan saya berjuang bersungguh-sungguh. Dia membiarkan saya menang kerana saya sudah hampir tewas di kilometer terakhir yang sangat curam,” kata Scaroni.

Dalam kedudukan keseluruhan (GC), pelumba Mexico Isaac Del Toro kini hanya mendahului 26 saat di hadapan Simon Yates (Visma–Lease a Bike) selepas gagal mengekalkan rentak dalam tiga kilometer terakhir. Richard Carapaz (EF Education-EasyPost), yang memulakan hari dengan ketinggalan lebih dua minit, kini hanya dibezakan 31 saat daripada Del Toro selepas serangan bertenaga pada pendakian terakhir.

“Kami tahu ini adalah peringkat penting. Saya rasa saya telah tunjukkan usaha dan kerja keras yang membawa saya kembali bersaing. Kami bersedia untuk berjuang hingga ke penghujung,” kata Carapaz.

Sementara itu, pelumba Slovenia Primoz Roglic, antara pilihan utama kejuaraan, menarik diri selepas terlibat dalam satu lagi kemalangan ketika menuruni bukit bersama Carapaz. Ini adalah kemalangan ketiganya dalam seminggu, selepas dua insiden sebelum ini.

Turut menarik diri ialah Joshua Tarling (INEOS Grenadiers), pemenang peringkat kedua, akibat kemalangan serius.

Perlumbaan sejauh 203km dari Piazzola sul Brenta ke San Valentino, yang merangkumi empat pendakian mencabar dan ketinggian keseluruhan 4,900 meter, berlangsung dalam hujan lebat yang mengakibatkan beberapa pelumba terjatuh.

Antara yang terlibat dalam kemalangan ialah Egan Bernal (INEOS Grenadiers), Carlos Verona (Lidl–Trek), dan Alessio Martinelli (VF Group–Bardiani–CSF–Faizane). Martinelli dihantar ke hospital dan dilaporkan sedar serta stabil.

Peringkat ke-17 pada Rabu bakal menyambung cabaran di pergunungan sejauh 155km dari San Michele all'Adige ke Bormio, melibatkan pendakian setinggi 3,800 meter.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD