fb fb fb fb fb

Saya akan tidur lebih lena- Guardiola

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp/ FOTO REUTERS

LONDON, 27 Januari- Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata dia bakal merindui musuh ketatnya, Jurgen Klopp yang mengumumkan akan meninggalkan Liverpool penghujung musim ini.

Klopp mengejutkan dunia bola sepak pada Jumaat selepas mengumumkan bahawa musim ini merupakan musim terakhirnya di Anfield, selepas mengambil alih kelab berkenaan pada 2015 dan membawa Liverpool menjulang pelbagai kejuaraan.

Guardiola yang ditanya wartawan sejurus skuad bimbingannya berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 pada pusingan kelima Piala FA pada Jumaat berkata pengumuman yang dilakukan Klopp sedikit mengejutkannya.

"Saya berasa sedikit terkejut dengan pengumuman berkenaan. Klopp merupakan seorang pengurus yang hebat.

"Walaupun saya tidak mengenalinya secara peribadi, saya pasti dia adalah seorang yang sangat mengagumkan," kata Guardiola.

"Secara jujurnya, Klopp merupakan seteru utama ketika kami di Bundesliga. Saya akan merinduinya.

"Saya gembira kerana tanpa kehadirannya, saya akan tidur lebih lena sehari sebelum menetang Liverpool. Saya ucapkan selamat berjaya kepadanya", tambah Guardiola.

Manchester City dan Liverpool menjadi pesaing hebat kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak kedua-dua pengurus mengambil alih pasukan masing-masing.

Liverpool kini berada di puncak liga dengan kelebihan lima mata ke atas City, yang bermain kurang satu perlawanan.

Sepanjang bersama Liverpool, Klopp telah memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan beberapa kejuaraan lain termasuk Piala Kelab Dunia dan Piala Super.

Jumaat lalu, Klopp telah membuat pengumuman berhubung masa depannya di Anfield apabila mengesahkan akan meninggalkan kelab gergasi Inggeris itu pada penghujung musim ini susulan semakin hilang tenaga dan tidak mampu meneruskan tugas sebagai pengurus kelab itu.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD