fb fb fb fb fb

Satu kerangka baharu diperlukan bagi kelangsungan liga M – Adam Adli

Foto Bernama

MELAKA, 1 Mei – Semua pihak berkepentingan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) disarankan membangunkan satu kerangka baharu demi memastikan kestabilan dan kekukuhan kewangan setiap pasukan, sekali gus mewujudkan ekosistem Liga Malaysia (Liga-M) yang lebih mampan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, langkah itu penting susulan isu tunggakan gaji pasukan Liga Super yang masih berulang hingga menjejaskan penyertaan dalam musim baharu, malah ada yang menarik diri daripada saingan liga.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius isu tunggakan gaji kerana ia satu kerugian besar jika sesebuah kelab tidak mampu bersaing dalam liga. Keadaan ini sudah pasti mengecewakan peminat dan penyokong setia kelab masing-masing.

“Kita mahu sukan bola sepak negara melahirkan lebih ramai pemain profesional. Maka, satu kerangka baharu perlu diwujudkan seperti pencarian dana, penajaan atau usaha menambah pendapatan melalui penjualan cenderamata pasukan agar setiap kelab dapat terus bergerak dan bersaing,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Terlajak Raya Hang Tuah Jaya di sini, malam tadi.

Menurut beliau, lanjutan tempoh yang diberikan kepada kelab Liga Super untuk melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab kebangsaan bagi musim 2024–2025 wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyelesaikan segala isu tertunggak.

Jelasnya, pengendali kelab dan persatuan bola sepak juga bertanggungjawab mencari penyelesaian terhadap kemelut tunggakan gaji yang melanda pasukan masing-masing.

Terdahulu, media melaporkan bahawa MFL telah melanjutkan tarikh akhir bagi kelab Liga Super melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab kebangsaan 2024–2025.

Pengerusi Jawatankuasa First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas menerima beberapa permohonan rasmi daripada kelab yang memerlukan masa tambahan untuk memuat naik dokumen dalam sistem Konfederasi Bolasepak Asia (AFC CLAS).

Media turut melaporkan bahawa beberapa pasukan ternama negara seperti Perak, Kedah dan Pahang telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Super musim 2025/2026, manakala nasib Kedah Darul Aman FC dan Kelantan Darul Naim FC bergantung kepada keputusan pelesenan kelab selepas berdepan isu tunggakan gaji.-BERNAMA

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI