JOHOR BAHRU, 1 Mei — Kerajaan Johor terus komited memperkasa peranan golongan belia dengan membuka dua lagi Pusat Aktiviti Belia Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), masing-masing di Iskandar Puteri dan Pasir Gudang, dalam masa terdekat.
Pembukaan dua pusat itu adalah selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang mahu kemudahan tersebut dibangunkan di kesemua 10 daerah dalam negeri Johor dalam tempoh lima tahun.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, setakat ini kemajuan pembinaan kedua-dua projek TMIYC tersebut telah mencapai 89 peratus dan kini memasuki fasa akhir sebelum ia dibuka secara rasmi.
“Tidak lama lagi akan dilancarkan dan dirasmikan oleh Pemangku Sultan Johor. Cuma ketetapan tarikh sedang dimuktamadkan.
Kita juga akan meningkatkan pemantauan, bukan sahaja di TMIYC Iskandar Puteri, malah di Pasir Gudang dan seluruh negeri Johor. Bagi kawasan yang belum mempunyai TMIYC, kita akan usahakan agar dapat diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka DUN Larkin di Johor Bahru.
Pembangunan dua TMIYC baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan lima pusat seumpamanya yang beroperasi di negeri Johor, selepas Johor Bahru, Muar dan Renggam di Kluang.