XIAMEN, 1 Mei - Hasrat Malaysia untuk mengungguli Kumpulan C Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2025 tidak kesampaian apabila tunduk 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, di sini hari ini.
Pada perlawanan pertama, pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menampilkan prestasi cemerlang apabila berjaya menundukan gandingan Hiroki Midorikawa-Arisa Igarashi.
Pasangan diranking ke-4 dunia itu hanya memerlukan 39 minit untuk meraih mata pertama buat negara dengan mata 21-19 dan 21-18.
Seterusnya perseorangan lelaki, Leong Jun Hao juga berjaya menyumbangkan mata kedua buat negara apabila menundukan Kodai Naraoka.
Jun Hou memerlukan 1 jam 8 minit sebelum mengesahkan kemenangan dengan keputusan 21-8, 13-21 dan 21-18.
Namun perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei gagal menyumbangkan mata apabila tumpas 'straight set' kepada Tomoka Miyazaki dengan 14-21, 17-21.
Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tumpas kepada gandingan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Namun gandingan Jepun bermandi peluh sebelum mengesahkan kemenangan mereka di set penentuan dengan meraih mata 12-21, 22-20 dan 23-21.
Aksi penentuan menyaksikan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah tumpas kepada gandingan Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Pasangan negara menampilkan saingan terbaik sebelum tewas dalam set penentuan dengan keputusan 18-21, 21-18 dan 18-21.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati mara ke suku akhir selaku naib johan Kumpulan C, manakala Jepun menempah laluan selaku johan selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut.