fb fb fb fb fb

Sarjit Singh pembimbing baharu 'Speedy Tigers'

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal / Foto Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR, 4 Mac - Bekas pemain kebangsaan, Sarjit Singh dinamakan sebagai ketua jurulatih hoki lelaki negara yang baharu bagi menggantikan A. Arul Selvaraj.

Pengumuman dibuat oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal selepas mempengerusikan mesyuarat khas pertama persatuan itu di Bukit Jalil, pada Ahad.

Sarjit diberikan kontrak selama dua tahun bagi membimbing skuad Speedy Tigers.

Jelas Datuk Seri Subahan, keputusan itu adalah sebulat suara selepas meneliti beberapa perkara melibatkan jurulatih asing dan tempatan selain keperluan para pemain.

"Kami juga mempunyai harapan penuh menyokong sepenuhnya atas pelantikan ini dan kami juga akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada ketua jurulatih ini untuk mencari apa yang diperlukan untuk memastikan pasukan kebangsaan mendapat kejayaan yang lebih", kata Subhan yang ditemui media di sini.

Sarjit yang merupakan jurulatih pasukan hoki Johor pernah mengendalikan skuad Speedy Tigers dari Januari 2007 hingga Disember 2008.

Cabaran pertama beliau ialah menyediakan skuad bagi mengharungi Piala Sultan Azlan Shah 2024 pada Mei depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD