KUALA LUMPUR, 4 Mac -Terengganu Hockey Team, THT mengesahkan slot separuh akhir Piala TNB selepas menewaskan Liaoning Men’s Hockey Team 4-0 pada saingan suku akhir kedua, pada Ahad
Pasukan itu mara menerusi agregat 9-2 termasuk ketika menang 5-2 pada suku akhir pertama tempoh hari
Pertembungan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menyaksikan, Faizal Saari membuka tirai jaringan seawal minit kelapan hasil pukulan sudut penalti.
Barisan pertahanan Liaoning yang kurang ampuh dihukum THT apabila Ismail Abu menggandakan jaringan pada minit ke-14 selepas menyambut hantaran Akhimullah Anuar.
Faizal Saari menampilkan ketajaman penyudah dengan meledak gol kedua peribadi dan ketiga pasukan, sebelum Abid Sufian menyumbat gol keempat sebelum tamat permainan.
Naib juara Liga TNB-MHL 2024 yang juga juara bertahan Piala TNB itu akan berdepan Maybank pada 5 Mac ini.
Dalam pada itu, Ketua jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom optimis anak buahnya mampu mempertahankan kejuaraan berdasarkan prestasi cemerlang ditampilkan pada aksi tersebut.
"Mereka mencapai objektif utama pasukan untuk mencari gol awal dan kita cuba terapkan disiplin bertahan di suku pertama.
"Saya berharap mereka akan konsisten dengan prestasi semasa mereka untuk perlawanan separuh akhir nanti.. dengan tiada masalah injury tiada masalah prestasi semua insyallah kita akan cuba perlawanan ini sedaya upaya", katanya di sini.