JASIN, 3 Mac - Pelumba Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Md Akid Aziz mengekalkan dominasinya dengan mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraihnya tahun lalu apabila muncul juara kategori CP150 pada sirkit pertama Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix Jasin.
Pelumba berusia 26 tahun itu mencatat kepantasan 17:17.228 saat daripada 20 pusingan.
Hujan yang turun pada sesi kelayakan tidak menyukarkan pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu mendahului sejak dari awal hingga ke garisan penamat.
Menurutnya, kejayaan menjuarai pusingan pertama adalah permulaan yang baik untuknya dalam mengharungi baki sembilan lagi pusingan.
"Untuk harini kita gembiralah saya seronok sebab motor untuk spek baru ini memang motor saya dalam keadaan yang baik seperti tahun lepas. Tahun lepas pun memang motor saya keadaan yang baik cuma pusingan pertama tu saya tertinggal sebab ada sedikit masalah.
"Tahun ini Alhamdulillah dapat juara," kata Md Akid kepada pemberita.
Pelumba dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar menduduki tempat kedua.
Seorang lagi pelumba daripada Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran menduduki tempat ketiga dengan kepantasan 17:21.083 saat.
Sementara itu dalam perlumbaan akhir kategori Wira KBS sebanyak 12 pusingan dimenangi oleh Md. Akif Abdullah dari Honda KC Racing mencatat kepantasan 11.26.101 saat.
Md. Adib Arsyad Md. Hisam dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing menduduki tempat kedua dengan kepantasan 11:26.333 saat dan tempat ketiga menjadi milik Farres Putra Md. Fadhil dari Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing.