KUALA LUMPUR, 22 Jun- Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh, bersedia memikul tanggungjawab penuh termasuk melepaskan jawatan sekiranya gagal membawa pasukan negara layak ke Piala Dunia Hoki 2026 yang dijadual berlangsung pada Ogos tahun hadapan.
Menurut Sarjit, pembentukan pasukan yang mantap dan kompetitif masih memerlukan masa dan proses pembangunan menyeluruh.
“Saya perlukan dua tahun. Jika dalam tempoh itu saya gagal dan Malaysia tidak layak ke Piala Dunia, saya akan letak jawatan.
Tidak perlu salahkan pemain, saya sebagai jurulatih akan bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya selepas Malaysia menamatkan kempen Piala Negara-Negara FIH 2025 di tempat keenam selepas tewas 1-2 kepada Wales, semalam.
Jelas beliau, pemain muda negara masih memerlukan ruang dan sokongan daripada semua pihak untuk terus berkembang dan membina keyakinan.
“Pemain-pemain ini masih muda. Beri mereka kepercayaan. Harapnya kami mampu perbaiki prestasi dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Sarjit berkata beliau mula melihat peningkatan dari segi komunikasi dalam kalangan pemain muda, yang kini lebih berani menyuarakan pandangan berbanding sebelum ini.
"Pemain perlu terus belajar berkomunikasi dengan lebih terbuka serta bekerjasama menutup kelemahan rakan sepasukan ketika beraksi di atas padang," katanya lagi.
Tambah beliau, skuad negara perlu diberi lebih banyak peluang menyertai kejohanan kompetitif antarabangsa bagi mengasah ketahanan mental, meningkatkan keyakinan serta membina kematangan permainan yang tidak dapat diperoleh menerusi perlawanan persahabatan semata-mata.