fb fb fb fb fb

Sarjit sedia beri peluang kepada pemain lama kembali sertai skuad kebangsaan

Ketua jurulatih baharu skuad hoki kebangsaan Sarjit Singh

KUALA LUMPUR, 5 Mac- Ketua jurulatih baharu skuad hoki kebangsaan Sarjit Singh bersedia memberi peluang kepada pemain lama, membuktikan kemampuan mereka untuk kembali membarisi skuad Speedy Tigers.

Beliau yang menggantikan ketua jurulatih sebelum ini A. Arul Selvaraj, percaya usia bukanlah penghalang kepada mana-mana pemain untuk menampilkan prestasi cemerlang

Menurutnya, disiplin dan kegigihan menjadi keutamaan, untuk barisan kejurulatihan memilih pemain yang akan membarisi skuad Speedy Tigers.

“Yang pertama sekali saya kena akses kepada pemain dan pasukan, akses itu penting. Sekarang, liga masih berlangsung dan kita mahu bagi peluang kepada semua. Kita mahu pemain yang boleh bagi nilai tambah kepada pasukan.

“Kita akan tengok pemain lama juga, kalau dia main 300 kali untuk negara dan masih boleh bermain, kenapa tidak? Sekarang, kita akan buka untuk semua, campuran pemain lama dan baharu,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil.

Beliau yang pernah menggalas tugas sama pada tahun 2006 hingga 2008 dilantik semula mengemudi skuad hoki negara.

Sarjit turut memaklumkan beliau memerlukan masa 14 hingga 18 bulan untuk membentuk skuad yang dilengkapi pemain bertaraf antarabangsa, untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Sementara itu, Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata Sarjit turut bakal diberikan peranan untuk melihat keseluruhan ekosistem skuad hoki negara.

Senarai nama pemain Speedy Tigers yang dipanggil menyertai latihan akan diumumkan pada 10 Mac ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE