KUCHING, 9 Mac- Kementerian Belia dan Sukan yakin pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA) dan Sukan Para SUKMA ke-21 adalah berdasarkan kredibiliti yang dimiliki negeri itu, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Sarawak dilihat mempunyai keupayaan dalam penganjuran acara dan memiliki fasiliti sukan terbaik.
Temasya SUKMA mencipta sejarah tersendiri dengan mempertandingkan 37 jenis sukan melibatkan lokasi pertandingan di sembilan bahagian seluruh Sarawak.
Manakala temasya bagi Sukan Para SUKMA kekal mempertandingkan sepuluh jenis sukan.
SUKMA kali ini juga bakal menyaksikan penyertaan kira-kira 15,000 atlet dan pegawai termasuk penyertaan dari Brunei Darussalam.
"Ruang yang telah diberikan oleh Kerajaan Sarawak dengan mempertandingkan sukan-sukan yang tidak terpilih di Temasya Sukan Malaysia 2022 sebelum ini merupakan satu peluang keemasan.
"Ia disambut baik oleh persatuan sukan kebangsaan serta warga sukan di peringkat negeri," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian SUKMA dan Sukan Para SUKMA Edisi ke-21 di sini.
Teks ucapan Menteri Belia, Sukan dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ts. Dr K. Nagulendran.
Logo, maskot, lagu rasmi serta laman sesawang SUKMA Sarawak 2024 turut dilancarkan.
SUKMA 2024 bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos manakala Sukan Para SUKMA bermula pada 20 hingga 28 September. Kedua-dua sukan itu akan berlangsung di Kuching.