KUALA LUMPUR, 8 Mac - Pelumba cilik negara Qabil Irfan Azlan bakal berlumba dalam Kejuaraan Spanish Superbike (ESBK) bagi Kategori Moto4 bersama pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing untuk musim penuh 2024.
Menurut kenyataan dikeluarkan ZK Racing, Juara Siri Dunia MiniGP 2023 itu akan berlepas ke Sepanyol Ahad ini untuk mengikuti ujian pramusim pada 16 dan 17 Mac ini di Litar Herez.
Qabil akan kekal di sana bagi mengharungi perlumbaan pembukaan musim pada 6 dan 7 April ini.
Kejuaraan ESBK akan diadakan sepanjang 7 pusingan.
Kategori Moto4 merangkumi pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dan akan bersaing di litar-litar di Sepanyol dan Portugal.
Selepas perlumbaan di Litar Herez, Qabil dijadual meneruskan tunggangannya di Litar Valencia, Sepanyol; Litar Estoril, Portugal ; Litar Catalunya, Sepanyol; Litar Navarra, Sepanyol dan kembali ke Litar Herez bagi menutup kempen 2024 pada 2 dan 3 Nov.
Pelumba berusia 12 tahun yang bernaung di bawah program pembangunan ZK Racing sejak 2020 dijangka turut serta pada Kejuaraan FIM MiniGP Siri Malaysia dalam kategori 190cc tahun ini.