fb fb fb fb fb

PBM Kedah buru slot separuh akhir Piala Emas Raja-Raja

Foto FB PBM Kedah

ALOR SETAR, 25 Oktober – Skuad Persatuan Bolasepak Melayu (PBM) Kedah hanya memerlukan keputusan seri bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Emas Raja-Raja 2025 edisi ke-103, apabila turun menentang PBM Selangor dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), malam esok.

Pengurus PBM Kedah, Datuk Zuraidi Rahim mengakui cabaran getir menanti pasukannya di tempat lawan, namun kekal optimis barisan pemainnya mampu memberikan saingan sengit untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Saya mendoakan agar PBM Kedah melangkah ke separuh akhir dengan jayanya. Pasukan ini mempunyai harapan yang tinggi agar pemain-pemain mempamerkan aksi cemerlang bagi membantu Kedah mara ke pentas akhir Piala Emas Raja-Raja,” katanya kepada pemberita, di sini.
 
Menurut beliau, kejayaan melangkah ke separuh akhir bakal menjadi sejarah baharu buat PBM Kedah selepas kali terakhir mencapainya pada tahun 2023.

Beliau turut memaklumkan insentif dan imbuhan khas menanti pemain sekiranya pasukan berjaya mara ke separuh akhir dan seterusnya beraksi di pentas akhir.

Dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) baru-baru ini, PBM Kedah meraih kelebihan tipis 3-2 ke atas PBM Selangor, sekali gus membawa bekalan satu gol berharga menjelang perlawanan timbal balik esok.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN