TOKYO, 25 Oktober – Pemain Switzerland, Belinda Bencic mara ke perlawanan akhir Terbuka Pan Pacific buat kali kedua selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Sofia Kenin, 7-6(5), 3-6, 6-2 dalam aksi separuh akhir di Ariake Coliseum, hari ini.
Kejayaan itu membolehkan Bencic yang juga pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, menebus kekecewaan tewas di perlawanan akhir edisi 2015 kepada Agnieszka Radwanska.
Bencic mempamerkan aksi dominan pada set penentuan, dan akhirnya menamatkan perlawanan dalam masa hampir dua jam untuk mara ke perlawanan akhir menentang Linda Noskova dari Republik Czech.
Sementara itu, Noskova mara ke perlawanan akhir selepas Elena Rybakina menarik diri selepas mengalami kecederaan belakang.
Perlawanan akhir esok menyaksikan Bencic memburu gelaran keduanya musim ini, manakala Noskova berhasrat menambah koleksi selepas meraih kejuaraan pertama di Monterrey, Mexico tahun lalu. -REUTERS