fb fb fb fb fb

SAM terima dana KBS RM30,000 untuk kebajikan ahli dan keluarga

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 10 Mac - Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menerima suntikan dana sebanyak RM30,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menjaga kebajikan ahli dan keluarga persatuan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata kaedah penyaluran dana berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan SAM.

"RM30,000 geran untuk persatuan penulis-penulis sukan untuk tujuan khas ini untuk penulis-penulis memerlukan bantuan untuk kebajikan. Terpulang kepada SAM untuk agihkan cara yang mereka fikirkan sesuai kepada ahli yang memerlukan," katanya.

Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peralatan sekolah kepada 222 penerima menerusi program Kasih Prihatin Back to School dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) di Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, di sini pada Sabtu.

Sementara itu Presiden SAM, Norismadi Abd Manap optimis akan menggunakan dana itu sebaiknya pada bulan Ramadan ini.

"Mengenai bantuan RM30,000 yang diumumkan sesuai dengan kehadiran Ramadan itu dan insya-Allah akan diteruskan tahun ini untuk memberi bantuan kepada ahli-ahli dan juga bekas wartawan-wartawan sukan yang memerlukan," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN