TOKYO, 27 November - Kem badminton pekak negara mengakhiri cabaran di Deaflympics Tokyo 2025 dengan hanya merangkul satu pingat gangsa menerusi beregu campuran, Edmund Teo–Boon Wei Ying, sekali gus melenyapkan harapan awal untuk mencapai sasaran dua pingat emas.
Jurulatih skuad badminton pekak kebangsaan, Sabrina Chong, berkata pencapaian gangsa itu tetap sesuatu yang harus dibanggakan, apatah lagi Malaysia berjaya menewaskan juara bertahan edisi Brazil sebelum ini.
"Walaupun ia bukan sasaran untuk meraih pingat emas, pencapaian gangsa ini sebenarnya tinggi nilainya. Kami menewaskan juara Deaflympics edisi lalu, Saya berbangga dengan usaha pemain," katanya.
Menurut Sabrina, beberapa kekangan seperti kurang pendedahan kejohanan serta perbezaan keadaan gelanggang menjadi faktor misi memburu emas sukar direalisasikan.
Tambah beliau, keadaan bola bulu tangkis yang lebih perlahan akibat cuaca sejuk di Tokyo memberi sedikit kekurangan kepada pemain negara yang lebih biasa dengan kelajuan berbeza di Malaysia.
"Ia bukan alasan, tetapi memang satu kekurangan buat kami. Semua bermain dengan shuttle yang sama, cuma kita kurang pengalaman bermain dalam persekitaran seperti ini," jelasnya.
Sabrina turut mengakui tekanan sebagai juara bertahan turut mempengaruhi prestasi pemain, terutama dalam acara berpasukan yang menyaksikan Malaysia tumbang kepada Lithuania dan Chinese Taipei masing-masing pilihan ketiga dan keempat.
Namun, di sebalik keputusan itu, beliau tetap melihat perkembangan positif terutama keberanian pemain untuk bersaing rapat dengan lawan lebih berpengalaman.
Pada masa sama, Sabrina mendedahkan skuad negara bakal menampilkan seorang pemain perseorangan kidal berbakat dalam masa terdekat, yang dijangka menjadi antara prospek terbaharu badminton pekak negara.