LIVERPOOL, 25 Mei-Mohamed Salah mendedahkan bahawa rundingannya dengan pegawai Liga Pro Saudi (SPL) sangat serius sebelum beliau memperbaharui kontrak bersama Liverpool.
Penyerang Mesir itu mendedahkan dalam wawancara bersama saluran TV On Sport bahawa jika beliau tidak menyambung kontrak dengan Liverpool, perpindahan ke Arab Saudi mungkin telah berlaku.
“Ia satu peluang yang baik. Jika saya tidak memperbaharui kontrak, perkara itu mungkin telah berlaku,” kata Salah.
Beliau menambah bahawa hubungan beliau dengan pegawai SPL sangat baik dan rundingan berlangsung dalam suasana profesional.
Salah akhirnya menandatangani kontrak baharu hingga 2027 dan mengakui bahawa sokongan peminat memainkan peranan penting dalam keputusannya untuk kekal.
“Sebahagian tekanan kepada kelab datang daripada penyokong.
"Saya tahu sejak awal mereka mahu saya terus bersama pasukan, dan mereka memainkan peranan mereka,” katanya.
Salah telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan oleh Football Writers’ Association (FWA) buat kali ketiga — menjadikannya pemain kedua selepas Thierry Henry yang memenangi anugerah itu sebanyak tiga kali.
Musim ini, Salah menjaringkan 29 gol, sekali gus membantu Liverpool merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali kedua sejak beliau menyertai kelab itu pada 2017.
Dalam wawancara itu, Salah turut mengulas mengenai perbezaan antara jurulatih baharu Arne Slot dan bekas pengendali Jurgen Klopp.
“Setiap jurulatih ada gaya permainan berbeza, tapi saya banyak berbincang dengan Slot dan kami saling memahami,” katanya.
“Klopp telah memberikan banyak kepada kelab ini dan telah membawa banyak kejayaan", katanya.
Menurut Salah, Slot seorang yang jujur dan memberitahunya sejak awal bahawa beliau mahu melihat prestasi terbaik daripada dirinya, manakala Salah sendiri mahukan keselesaan di atas padang.-REUTERS.