fb fb fb fb fb

Benam Venezia, Juventus sahkan tiket ke Liga Juara Eropah

Foto REUTERS

MILAN, 26 Mei-Juventus mengesahkan tempat ke Liga Juara Eropah musim depan selepas menewaskan Venezia 3-2.

Kemenangan itu, sekali gus mengatasi Roma yang menang 2-0 ke atas Torino untuk merampas tempat terakhir Serie A ke kejohanan elit Eropah dengan kelebihan satu mata.

Penalti Manuel Locatelli pada minit ke-73 memastikan kemenangan dalam perlawanan dramatik di Venice Lagoon dan mengesahkan Juve di tempat keempat pada hari terakhir musim yang penuh dengan liku.

"Ia bukan mudah, dengan tiga perlawanan terakhir semuanya di tempat lawan dan menentang pasukan yang bersaing secara langsung. Ini satu pencapaian yang baik. Saya gembira," kata jurulatih Juve, Igor Tudor, yang menurut laporan media Itali, bakal digantikan oleh Antonio Conte musim panas ini.

Tudor, yang mengambil alih pasukan daripada Thiago Motta yang dipecat pada Mac, berkata masa depannya akan diumumkan sebelum bermulanya Piala Dunia Kelab bulan depan.

" Kita akan tahu tak lama lagi dan itu cara yang betul," ujar Tudor.
"Jika seseorang pergi ke kejohanan itu tanpa masa depan bersama kelab, itu tidak betul. Tapi bukan untuk saya, untuk kelab", jelasnya.

Juventus pada awalnya kelihatan bakal mencatat kemenangan mudah apabila dua gol pantas oleh Kenan Yildiz dan Randal Kolo Muani pada minit ke-30 membolehkan mereka mendahului selepas dikejutkan dengan gol awal Daniel Fila seawal minit kedua.

Namun, Ridgeciano Haps menghidupkan kembali harapan Venezia sembilan minit selepas separuh masa, meletakkan Roma di tempat keempat buat seketika.

Roma kendalian Claudio Ranieri ketika itu mendahului dua gol hasil sepakan penalti Leandro Paredes pada minit ke-18 dan tandukan Alexis Saelemaekers tujuh minit selepas rehat, dengan penyokong kelab ibu kota berharap Venezia mampu mengekang Juventus.

Namun, Locatelli kembali meletakkan Juve di hadapan dengan tenang selepas Francisco Conceicao dijatuhkan oleh Hans Nicolussi Caviglia di dalam kotak penalti.

Ranieri menamatkan kerjayanya sebagai jurulatih dengan hanya kekurangan satu mata untuk membawa Roma kembali ke Liga Juara Eropah buat kali pertama sejak 2018, selepas membawa naik kelab zaman kanak-kanaknya itu dari kedudukan tercorot selepas kembali buat kali kedua pada November lalu.

“Kami minta maaf kepada penyokong, tetapi kami telah beri segala-galanya dan apabila anda sudah berikan sepenuh daya, anda boleh berpuas hati,” kata Ranieri, yang bersara buat kali kedua dalam tempoh setahun.

Ketua jurulatih Como, Cesc Fabregas dan pengendali Atlanta Gian Piero Gasperini adalah dua nama yang disebut-sebut sebagai calon pengganti Ranieri.

Sementara itu, Venezia menyertai Monza (pasukan tercorot) dan Empoli — yang tewas 2-1 kepada pasukan pesaing penyingkiran, Verona — untuk turun ke Serie B musim depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD