fb fb fb fb fb

Norris juara GP Monaco

Pelumba Mclaren, Lando Norris menjuarai GP Monaco / Foto REUTERS

MONACO, 26 Mei-Pelumba McLaren, Lando Norris meraikan kemenangan impian zaman kanak-kanaknya di Grand Prix Monaco dari petak utama pada Ahad dan merapatkan jurang mata dengan rakan sepasukan McLaren, Oscar Piastri, kepada tiga mata dalam kejuaraan Formula Satu, pada perlumbaan yang menyaksikan tiada aksi potong- memotong dan lebih tertumpu kepada strategi berbanding kelajuan.

Pelumba Ferrari, Charles Leclerc menamatkan saingan di tempat kedua dalam perlumbaan di laman sendiri yang dimenanginya tahun lalu, diikuti Piastri di tempat ketiga dan Max Verstappen dari Red Bull di tempat keempat.

“Ini yang saya impikan sejak kecil. Jadi saya telah mencapai salah satu impian saya,” kata Norris mengenai kemenangan sulungnya di litar terkenal itu.

Pada perlumbaan itu, para pelumba mengambil pendekatan berhati-hati, dengan Verstappen hanya masuk pit pada pusingan kedua terakhir sebelum menyerahkan kedudukan pendahulu, manakala pelumba lain hanya mengekalkan posisi dan mengelak daripada sebarang kesilapan.

“Sangat mendebarkan. Saya duduk di hujung kerusi setiap pusingan. Hebat,” kata Verstappen dengan nada sinis.

“Mungkin tahun depan kita cuba empat hentian. Saya boleh lakukan empat pit hari ini dan tetap tamat di P4.”

Norris pula tenang mengawal perlumbaan, dengan kemenangan berada dalam genggaman sekiranya berjaya mengekalkan kedudukan.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat pelumba Britain itu dalam lapan perlumbaan — satu lagi di pembukaan musim di Australia. Ia juga kemenangan pertama McLaren di Monaco sejak Lewis Hamilton pada tahun 2008.

“Monaco, baby!” jerit Norris di radio sebaik melintasi garisan penamat.

“Suku terakhir perlumbaan memang mencemaskan, dengan Leclerc mengekori rapat dan Max di hadapan, tetapi kami menang di Monaco,” katanya lagi.

Norris mencetuskan sedikit detik panik di awal perlumbaan apabila dia tersasar sedikit di selekoh pertama dan menghasilkan asap tayar – namun tiada insiden besar berlaku selepas itu.

Sementara itu, pelumba Ferrari, Lewis Hamilton menamatkan di tempat kelima. Isack Hadjar dari Racing Bulls di tempat keenam, diikuti Esteban Ocon dari Haas di tempat ketujuh.

Liam Lawson mencatatkan mata pertamanya musim ini bersama Racing Bulls dengan tempat kelapan, manakala Alex Albon dan Carlos Sainz melengkapkan 10 teratas untuk Williams.

McLaren kini memperkukuh kedudukan mereka dalam senarai pengeluar, mengatasi Mercedes dengan kelebihan 172 mata, manakala Red Bull ketinggalan empat mata di belakang Mercedes.

Mercedes pula mengalami hari malang selepas sesi kelayakan yang mengecewakan.

George Russell dikenakan penalti laluan pit dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-11, manakala pelumba muda Itali, Kimi Antonelli menamatkan di tempat ke-18.

“Sebenarnya, bermula dari tempat ke-14 dan ke-15, tak banyak yang boleh dibuat. Kalau kami masuk pit pada pusingan pertama, kami tetap akan berakhir di belakang. Kalau kami cuba bertahan lama, kami tetap ketinggalan,” kata Russell.

Siri tiga perlumbaan Eropah akan diteruskan di Barcelona hujung minggu depan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD