fb fb fb fb fb

Apertura Argentina: Platense mara ke perlawanan akhir

Para pemain plesente meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir Apertura / Foto REUTERS

BUENOS AIRES,25 Mei– Platense menempah tiket ke final kejohanan Apertura Argentina selepas menewaskan San Lorenzo 1-0 pada Ahad hasil jaringan babak kedua oleh pemain gantian, Franco Zapiola.

Selepas mengejutkan River Plate di suku akhir, Platense kini bakal berdepan Huracan di perlawanan akhir, yang sebelum itu menewaskan Independiente 6–5 menerusi penentuan penalti dramatik pada Sabtu.

Pada perlawanan tersebut, San Lorenzo tampak bergelut mencari rentak permainan dalam separuh masa pertama, dan keadaan bertambah buruk apabila Ezequiel Cerutti terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan, menyebabkan perlawanan terhenti seketika.

Platense terus memberi tekanan melalui percubaan daripada Augusto Lotti, Ronaldo Martinez dan Vicente Taborda, namun penjaga gol San Lorenzo, Orlando Gill, mempamerkan aksi cemerlang untuk mengekalkan kedudukan tanpa jaringan.

Akhirnya, gol yang dinanti tiba pada minit ke-72 apabila Zapiola, yang baru dimasukkan menggantikan Lotti, menyempurnakan peluang hasil sepakan penjuru untuk menjaringkan gol kemenangan.

"Menjaringkan gol itu satu detik yang sangat istimewa. Hari ini kami memakai jersi dengan patch khas memperingati Pope Francis, dan sebagai rakyat Argentina, ia amat bermakna buat kami. Kami akan terus memakainya dalam setiap perlawanan. Saya rasa ia beri tuah hari ini," kata Zapiola kepada TNT Sports.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD