fb fb fb fb fb

'Raja tanah liat' Nadal diraikan penuh emosi di Roland Garros

Bekas bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal diberikan penghormatan di Roland Garros / Foto REUTERS

PARIS, 25 Mei – Terbuka Perancis membuka tirai dengan penghormatan istimewa kepada Rafael Nadal, juara 14 kali Roland Garros, yang diraikan penuh emosi di hadapan ribuan peminat.

Pada ulang tahun ke-20 sejak kemunculan sulungnya di Paris, Nadal disambut dengan lautan 10,000 baju-T 'Merci Rafa' dan sorakan gemuruh penonton.

Penganjur turut mengabadikan tapak kaki Nadal di gelanggang utama sebagai simbol penghargaan.

Nadal, yang tampil segak dalam sut hitam, disambut dengan tepukan gemuruh dan tayangan video khas tentang kariernya.

Air mata mengalir ketika beliau mengucapkan terima kasih kepada keluarga, jurulatih, rakan dan para peminat, serta mengenang detik pahit manis termasuk kecederaan yang hampir memaksanya bersara awal.

“Saya berjuang, menang, kalah dan merasai pelbagai emosi selama 20 tahun di gelanggang ini,” kata Nadal dalam ucapan yang menyentuh hati.

Turut hadir memberi penghormatan ialah rakan seangkatan seperti Novak Djokovic, Roger Federer dan Andy Murray.

Nadal turut berterima kasih kepada rakyat Perancis yang menerimanya seperti keluarga sendiri.

“Saya tidak lagi akan bermain di depan anda, tetapi hati saya akan sentiasa bersama Roland Garros dan rakyatnya,” katanya penuh emosi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD