NILAI, 25 Mei- Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan akan diteruskan tahun hadapan dan dijadikan sebagai acara tahunan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, kerajaan negeri dengan sokongan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PSTNS) dan para penaja, komited memastikan kejohanan itu terus berkembang dan menjadi rebutan pasukan dari dalam dan luar negara.
"Saya rasa mungkin kita boleh tambah baik dari segi hadiah, dan insya-Allah kita akan bincang dengan teliti untuk penganjuran akan datang. Tahun ini saya serahkan sepenuhnya kepada penganjur, dan insya-Allah tahun hadapan kita akan atur dengan lebih tersusun dan menarik," katanya ketika ditemui media di N9 Arena sempena kejohanan itu, semalam.
Dalam aksi final regu terbuka, pasukan NS Fudin A muncul juara selepas menewaskan NS Fudin B dengan keputusan 2-1, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Sementara itu, Presiden PSTNS, Wan Mohd Husni Abdullah, berkata penganjuran kejohanan ini juga seiring dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 2026.
"Kita mengambil langkah lebih awal bagi memastikan kejohanan tahun hadapan berjalan lancar. Diharap para penaja akan terus memberi sokongan seperti kali ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun serta semua penaja yang menyokong kejohanan ini," katanya.
Kejohanan edisi kali ini menyaksikan penyertaan 128 pasukan, termasuk dari Singapura dan Thailand, dengan empat kategori dipertandingkan iaitu Regu Terbuka, Veteran, Bakat Baharu dan Bawah 15 Tahun.