RIO DE JANEIRO, 26 Mei-Ratusan peminat setia bola sepak Brazil berkumpul di luar Hotel Grand Hyatt, di sini untuk menyambut ketibaan jurulatih baharu pasukan kebangsaan Brazil, Carlo Ancelotti, yang tiba di sini semalam.
Ancelotti yang menamatkan tugasnya bersama Real Madrid pada penghujung musim ini, bersedia memulakan era baharu bersama skuad Seleção.
Pelantikan jurulatih tersohor Itali itu disambut penuh harapan oleh penyokong tempatan yang mengimpikan kejayaan membawa pulang trofi Piala Dunia keenam di bawah kendaliannya.
"Beliau adalah jurulatih terbaik ketika ini, sudah pasti antara lima terbaik dunia. Jadi, harapan kami memang tinggi," kata Danile Aquaresma, seorang penyokong yang hadir menyambut ketibaan Ancelotti.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF), Ednaldo Rodrigues, turut menekankan bahawa pelantikan Ancelotti adalah langkah strategik dalam mengembalikan kegemilangan Brazil sebagai kuasa besar bola sepak dunia.
"Dengan Ancelotti, suasana akan berubah. Dia akan bawa yang terbaik, dan saya rasa inilah masanya untuk kita buru gelaran keenam," ujar seorang lagi penyokong, Romulo Duarte penuh keyakinan.
Ancelotti dijadualkan akan diperkenalkan secara rasmi oleh CBF pada Isnin, sekali gus memulakan tugasan rasmi bersama pasukan kebangsaan Brazil.
Terdahulu, Ancelotti dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Brazil pada 12 Mei lepas menggantikan Dorival Junior susulan kekalahan memalukan 4-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang musuh tradisi, Argentina pada Mac lepas.
Juara Piala Dunia lima kali itu kini berada di tempat keempat dalam pusingan kelayakan Amerika Selatan, 10 mata di belakang Argentina yang sudah layak ke pusingan akhir.-REUTERS.