fb fb fb fb fb

Masters Malaysia: Herry Iman puji aksi cemerlang beregu lelaki negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyifatkan pencapaian Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 sebagai sesuatu yang membanggakan.

Menurut Herry, kedua-dua pasangan mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan, dengan kejayaan mara ke perlawanan akhir menjadi bukti kemajuan pemain beregu negara ketika ini.

"Yang pasti, bersenang hatilah kerana bukan mudah bagi seorang pemain untuk sentiasa memberikan yang terbaik, apatah lagi mencapai All-Malaysian Final.

"Pada pendapat saya, itu merupakan satu pencapaian yang cukup baik", katanya selepas perlawanan akhir Kejohonan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.

Herry yang menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari lalu menjelaskan bahawa pendekatan kejurulatihannya tidak banyak berbeza antara Malaysia dan Indonesia. Namun, beliau mengakui terdapat kelainan dari segi gaya permainan disebabkan faktor penyesuaian pemain terhadap falsafah taktikal yang diterapkan.

Mengulas mengenai usaha membimbing semula Wei Chong-Kai Wun selepas kejuaraan di Indonesia Masters 2025 dan kemerosotan prestasi dalam beberapa kejohanan selepas itu, Herry berkata pendekatan analisis video menjadi kunci kebangkitan mereka.

"Selepas kejayaan mereka di Indonesia Masters, sebenarnya mereka masih bermain dengan baik. Namun, dalam beberapa kejohanan selepas itu, prestasi mereka menurun bukan sedikit, malah agak ketara.

"Saya sendiri menonton rakaman perlawanan mereka dan menunjukkan perbezaan antara cara mereka bermain semasa menjadi juara di Indonesia Masters dan di kejohanan-kejohanan seterusnya", ujarnya.

Cara permainan mereka jelas tidak sama. Jadi, saya minta mereka tonton semula video perlawanan, buat analisis, dan mereka pun sedar akan perkara itu. Sekarang mereka sudah mula memberi fokus semula kepada corak permainan terbaik mereka", katanya.

Pasangan Wei Chong-Kai Wun menamatkan kemarau 12 tahun gelaran beregu lelaki Malaysia di kejohanan itu apabila menewaskan rakan senegara, Aaron-Wooi Yik dengan keputusan 21-12, 15-21, 21-16 dalam masa 50 minit.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD