fb fb fb fb fb

Saingan Liga Malaysia 2024/2025, Fahmi beri keutamaan bantu KL City FC

Penaung Kuala Lumpur (KL) City FC, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 2 April - Penaung Kuala Lumpur (KL) City FC, Fahmi Fadzil memberi keutamaan untuk membantu skuad The City Boys menjelang saingan Liga Malaysia 2024/2025, bulan depan.

Beliau mahu memastikan semua keperluan KL City dapat diuruskan dengan baik dan bersedia untuk memulakan musim baharu itu nanti.

Fahmi berkata, beliau ada bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh baru-baru ini bagi membincangkan perjanjian komersial antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan KL City.

"Saya hendak pastikan isu seperti gaji, tahap kesiapsiagaan stadium (Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur), jadi kita banyak fokus kepada beberapa perkara asas,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan KL City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini pada Isnin.

Pada masa sama, Fahmi turut bersedia mempertimbangkan untuk menerajui KLFA pada masa depan demi memastikan persatuan itu dapat dikemudi dengan baik.

Sementara itu, Fahmi berkata kehadiran pemain tengah skuad Harimau Malaya, Brendan Gan dapat menyuntik elemen positif dalam pasukan KL City.

Brendan menyertai KL City selepas bersama dengan Selangor FC selama tiga tahun dari 2020 sehingga musim lepas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN