fb fb fb fb fb

Enam muka baharu dipanggil sesi pemilihan skuad hoki kebangsaan

Pengurus Pasukan Hoki Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 2 April - Enam muka baharu terpilih untuk memburu tempat dalam skuad hoki kebangsaan.

Mereka tersenarai dalam 30 pemain yang melepasi pemilihan bagi menjalani latihan pemilihan fasa kedua.

Enam pemain terbabit Che Shahrul Azmi Che Saufi, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Syawal Abd Razak, T Naaveennash, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.

Pengurus Pasukan Hoki Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata mereka antara pemain yang melepasi saringan awal yang berakhir 31 Mac lalu.

"Senarai 30 pemain ini akan menjalani latihan peringkat kedua sebelum kita mengumumkan skuad terakhir 18 pemain, selepas perlawanan persahabatan menentang New Zealand.

"Insya-Allah 1 Mei kita akan umum 18 pemain yang akan menggalas tugas di Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini pada Isnin.

Skuad negara dalam persiapan menghadapi saingan Piala Azlan Shah,dari 4 sehingga 11 Mei depan.

Selaku juara bertahan, Speedy Tigers akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan. Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland yang bermula 31 Mei sehingga 9 Jun.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN