fb fb fb fb fb

Klasik London 2024, Sivasangari muncul juara

Pemain skuasy negara, S. Sivasangari melakar sejarah apabila merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Skuasy Klasik London yang berstatus gold di Gillen Markets London Squash, England, pada Isnin / Foto PSA World Tour

LONDON, 2 April - Pemain skuasy negara, S. Sivasangari melakar sejarah apabila merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Skuasy Klasik London yang berstatus gold di Gillen Markets London Squash, England, pada Isnin.

Menurut PSA World Tour, pemain nombor 13 dunia itu mempamerkan aksi penuh konsisten sepanjang kejohanan dengan kemuncaknya menewaskan Hania 3-2 dalam masa 81 minit di pentas akhir.

Juara Sukan Asia Hangzhou 2022 itu membuka tirai pertarungan dengan memenangi set pertama 11-9.

Namun Hania, 24, tidak memberi laluan mudah apabila mengikat keputusan kepada 1-1 selepas memenangi set kedua, 11-5.

Sivasangari kemudian bangkit memenangi set ketiga 13-11 sebelum pilihan kedua kejohanan itu kembali menyamakan kedudukan kepada 2-2 selepas melakar kemenangan 14-12.

Memasuki set kelima, perlawanan lebih dramatik apabila Hania menunjukkan kebangkitan pada saat akhir.

Bagaimanapun, Sivasangari memuktamadkan kejuaraannya dengan 11-8 untuk melakar kemenangan muktamad 3-2.

Kemenangan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$17,598.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN