fb fb fb fb fb

SABALENKA SASAR AKHIR WIMBLEDON

Foto AFP

LONDON, 10 Julai-Aryna Sabalenka semakin hampir ke perlawanan akhir Wimbledon kali keempat berturut-turut ketika bersiap sedia untuk pertembungan empat terakhir Khamis ini menentang Amanda Anisimova dari Amerika Syarikat.

Pemain nombor satu dunia itu tidak tercicir satu set pada empat pusingan pertama tetapi terpaksa menghadapi saingan sengit untuk menewaskan pemain ranking ke-104 Laura Siegemund pada suku akhir dengan keputusan 4-6, 6-2, 6-4 dalam masa hampir tiga jam.

"Saya pasti rasa permukaan ini sesuai dengan permainannya, Itulah sebabnya dia bermain dengan baik setakat ini. Dia melakukan servis dengan baik, dia melakukan pukulan yang agak bersih dan berat.

"Kami baru sahaja bermain di Terbuka Perancis baru-baru ini. Saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan. Maksud saya, ia akan menjadi tenis yang sangat agresif, saya fikir." kata Sabalenka.

Anisimova sebelum itu menewaskan pemain Rusia, Anastasia Pavlyuchenkova untuk mara ke separuh akhir.

Jika Sabalenka menewaskan Anisimova, dia boleh berdepan juara Grand Slam lima kali, Swiatek dalam perlawanan kejuaraan Sabtu ini.

Bekas pemain nombor satu dunia Poland itu telah memenangi lapan daripada 13 perlawanan mereka, walaupun mereka tidak pernah bertemu di atas gelanggang rumput.

Tetapi pertama Swiatek, pilihan kelapan di Kelab All England, berdepan tugas sukar di Gelanggang Tengah menentang bekas juara Olimpik Switzerland, Belinda Bencic.

Swiatek, yang memenangi Wimbledon remaja pada 2018, berkata selepas kemenangan suku akhir menentang pemain Rusia Liudmila Samsonova bahawa dia telah bekerja keras untuk memperbaiki permainannya.

"Rasanya hebat. Walaupun saya berada di tengah-tengah kejohanan, saya sudah merinding selepas kemenangan ini. Saya sangat gembira dan sangat bangga dengan diri saya dan saya akan teruskan," kata Swiatek.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH