fb fb fb fb fb

Connor Liew raih kejuaraan berganda Kejohanan Golf 100PLUS Srixon

Connor Liew Axel Kai

SUBANG, 10 Julai – Connor Liew Axel Kai mengesahkan status selaku juara kategori lelaki A (BA) kejohanan golf 100PLUS Srixon Jelajah Pembangunan Malaysia Sirkit Ketiga sekali gus melakar kejuaraan berganda dalam siri jelajah ini.

Hari terakhir di Kelab Golf Glenmarie (GGCC) Subang, Selangor, Connor yang bermula dengan 1 di atas par pada hari terakhir nyata bergelut untuk mencatat keputusan positif susulan tiupan angin yang kuat.

Beliau yang juga juara Sirkit Kedua yang berlangsung di Miri, Sarawak penghujung Jun lalu, menutup hari terakhir dengan 75 pukulan 3 di atas par untuk catatan terkumpul keseluruhan 220 pukulan 4 di atas par.

“Pukulan pendek adalah keutamaan kerana jika tidak berjaya,saya perlu perbaikinya dan mengawal emosi pada masa yang sama.

“Hari ini saya agak gemuruh kerana rakan rakan bermain dengan lebih baik di sembilan lubang pertama. Saya semakin gemuruh di Sembilan lubang terakhir tetapi cuba untuk kekal tenang dan fokus pada setiap pukulan.” kata Connor.

Ammer Aiman Mohd Fauzi menghuni tangga kedua dengan catatan terkumpul keseluruhan 221 pukulan 4 di atas par.

Kategori Lelaki B (BB) diungguli Muhd Afham Othman yang menutup hari ketiga dengan catatan 224 pukulan keseluruhan 8 di atas par.

Sementara itu pertarungan melibatkan perempuan A (GA), dimenangi Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani yang mengesahkan status selaku juara selepas mencatat keputusan paling cemerlang 67 pukulan 5 di bawah par.

Catatan itu memastikan namanya berada di kedudukan teratas dengan catatan terkumpul 211 pukulan 5 di bawah par, mengatasi Ngo Yi Belle yang gagal bermain dengan baik selepas mencatat 78 pukulan 6 di atas par.

Kejayaan ini sesuatu yang bermakna untuk Batrisyia memandangkan ia adalah kejayaan pertamanya.

“Setiap pukulan saya terkawal samada di fairway, putting dan lain semuanya berada dalam keadaan terbaik. Saya berikan yang terbaik di kejohanan lain tetapi belum ada rezeki tetapi saya dapat bermain under dan dapat gelaran juara keseluruhan.

“Saya rasa sangat teruja kerana boleh belajar bagaimana cara permainan mereka di Grand Finale nanti.” kata Batrisyia.

Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Norazrin Bin Norsyam Yee melihat prestasi yang dipamerkan oleh pemain pemain sepanjang tiga sirkit ini menunjukkan perkembangan positif dan mengharapkan pemain yang mewakili negara ke Grand Finale pada Oktober nanti memberikan tentangan sengit kepada para pemain luar negara.

“Bagi pihak 100PLUS kita sangat teruja dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh pemain pemain muda. Catatan yang mereka lakukan juga menakjubkan. Tiga sirkit telah pun selesai dan kami menantikan untuk pusingan akhir di Kota Permai nanti.

“Bersama-sama dengan Srixon, kita akan memilih pemain muda terbaik dan jadikan platform untuk mereka membuktikan permainan sebenar dan bersaing dengan pemain remaja antarabangsa.

“Kita berharap akan ada keajaiban berlaku pada tahun ini kerana edisi lalu kebanyakkan dimenangi oleh pemain luar negara. Kami berharap akan ada keputusan positif daripada pemain remaja.” kata Nurazrin

Tiga sirkit dipertandingkan untuk mengenal pasti 40 pemain dengan Sirkit Pertama telah berlangsung di Kelab Golf Templer, Rawang pada 6 hingga 8 Jun lalu.

Manakala sirkit kedua telah berlangsung di kelab Golf Eastwood Valley,Miri, Sarawak pada 24 hingga 26 Jun lepas dan sirkit ketiga pula akan berlangsung di kelab golf Glenmarie, Subang.

AZRUL FAIZAL JUSOH