DUBAI, 27 Disember – Pemain tenis wanita nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, dan bintang Australia, Nick Kyrgios, menyuarakan keterujaan untuk menghadapi cabaran luar jangka apabila mereka bakal bertemu dalam perlawanan pameran ‘Battle of the Sexes’ di Dubai, Ahad ini.
Kedua-dua pemain menegaskan mereka tidak terlalu mempedulikan perdebatan yang timbul dalam kalangan peminat dan pemerhati tenis dunia mengenai perlawanan tersebut, yang akan berlangsung di Coca-Cola Arena.
Perlawanan itu menghidupkan kembali jenama ikonik ‘Battle of the Sexes’, yang pertama kali mencuri perhatian dunia pada tahun 1973 apabila legenda tenis wanita, Billie Jean King, menewaskan bekas juara Grand Slam lelaki, Bobby Riggs, dalam perlawanan bersejarah yang membawa mesej perubahan sosial.
Bagaimanapun, King baru-baru ini menjelaskan bahawa perlawanan di Dubai itu tidak membawa kepentingan sosial yang sama seperti pertemuannya dengan Riggs, yang berlangsung dalam konteks budaya dan perjuangan gender yang jauh berbeza.
Kyrgios pula menyifatkan perlawanan bersama Sabalenka sebagai simbol kerjasama dan hiburan dalam sukan, sambil menegaskan dunia tenis memerlukan lebih banyak pendekatan sedemikian.
Berbeza dengan Riggs yang sudah bersara ketika menentang King, Kyrgios masih aktif dalam jelajah ATP, meskipun kariernya kebelakangan ini dibelenggu kecederaan dan beliau hanya beraksi dalam lima perlawanan perseorangan profesional sepanjang 2025.
Perlawanan itu akan menggunakan format terbaik daripada tiga set dengan beberapa peraturan khas, termasuk satu servis sahaja bagi setiap pemain, saiz gelanggang lebih kecil untuk Sabalenka, serta tiebreak 10 mata sekiranya perlawanan terikat ke set penentuan. -REUTERS