fb fb fb fb fb

Liga Ragbi Putrajaya dijenamakan semula kepada Putrajaya Super Rugby (PSR)

Foto FB Ragbi Putrajaya

PUTRAJAYA, 27 Disember - Persatuan Ragbi Putrajaya (PRP) menjenamakan semula Liga Ragbi Putrajaya kepada Putrajaya Super Rugby (PSR) bagi meningkatkan nilai komersial, di samping memberi tumpuan kepada profesionalisme, keselamatan pemain dan pembangunan bakat tempatan.

Menurut Presiden Persatuan Ragbi Putrajaya, Anwarrul Aswad, PSR 2026 yang dijadual berlangsung dari 3 Januari hingga 1 Februari 2026 akan membuka saingan di Padang Ragbi Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, sebelum kemuncak kejohanan berlangsung di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

"Selama 14 tahun kita menggunakan Liga Ragbi Putrajaya. Pada tahun 2026, kita jenamakan semula kepada Putrajaya Super Rugby untuk menaikkan nilai komersial. Apabila nilai komersial meningkat, bukan sahaja persatuan, malah pasukan-pasukan yang bertanding turut mendapat manfaat," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Putrajaya Super Rugby (PSR) 2026 di sini, hari ini.

Peningkatan nilai komersial itu diyakini mampu menarik minat penaja korporat, sekali gus membantu pasukan menampung kos pengurusan sepanjang kejohanan dan program ragbi sepanjang tahun.

Dalam pada itu, Anwarrul memaklumkan jumlah pasukan yang bertanding meningkat kepada lapan pasukan bagi edisi 2026 berbanding hanya empat pasukan dalam tempoh tiga tahun lalu, susulan kemasukan ahli gabungan baharu sejak Julai 2025.

Mengulas format pertandingan, beliau memaklumkan PSR 2026 mengekalkan format sedia ada dengan lapan pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan, sebelum juara kumpulan mara ke separuh akhir dan final.

"Kejohanan berlangsung selama lima minggu dengan keseluruhan 20 perlawanan, dan perlawanan akhir dijangka berlangsung pada 1 Februari," katanya.

PSR 2026 turut memperkenalkan anugerah luar padang meskipun tiada ganjaran wang tunai ditawarkan pada peringkat awal, termasuk anugerah media sosial terbaik selain pemilihan lima pemain bawah 21 tahun terbaik sebagai pelapis masa depan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN