fb fb fb fb fb

Sabah hukum KL City minit akhir

(Foto MFL)

KOTA KINABALU, 13 Ogos- Sabah FC bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk mencatat kemenangan dramatik di Stadium Likas dalam aksi Liga Super dengan menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-2.

Sabah FC yang tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi lalu, turun dengan tekad menewaskan KL City FC, menurunkan kesebelasan terbaik mengimbangi kekuatan pasukan lawan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan namun gagal menemui jaringan awal selepas digagalkan oleh pertahanan dan ketangkasan penjaga gol kedua-dua pasukan.

Pada separuh masa kedua, kemasukan Saddil Ramdani menggantikan Muhammad Firdaus Chew, mengubah corak permainan Sabah FC dengan larian dan hantaran lebih menarik berjaya menghasilkan jaringan pertama pada minit ke-51, selepas Stuart Wilkin berjaya menyudahkan hantaran Telmo Ferreira Castanheira hasil gerakan yang dimulakan Saddil Ramdani.

KL City FC yang dikejutkan dengan jaringan awal, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 , selepas Romel Morales berjaya menanduk masuk hantaran Declan Lambert dari sebelah kanan. 

Sabah FC yang tersentak dengan gol penyamaan cuba melakukan serangan balas, namun dikejutkan dengan jaringan kedua KL City FC melalui gerakan solo pemain muda Haqimi Azim Rosli, yang melakukan rembatan deras selepas berjaya melepasi kawalan Daniel Ting.

 
(Foto MFL)

Sabah FC yang melakukan beberapa penggantian pemain, terus memberi tekanan ke atas gawang KL City FC dan berjaya menjaringkan gol penyamaan, selepas Park Taesu melakukan rembatan tepat menewaskan Kevin Ray Mendoza pada minit ke-80.

Ketika perlawanan dilihat seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Gabriel Peres muncul wira Sabah FC apabila berjaya menyudahkan hantaran cantik Rizal Ghazali pada minit ke-89, menewaskan penjaga gol KL City FC. 

Ketua Jurulatih Sabah Datuk Ong Kim Swee berkata pasukannya perlu mengekalkan momentum untuk mengharungi perlawanan seterusnya. 

"Kita tidak boleh kehilangan mata di sini. Kita tahu liga hampir ke penghujung, dan apa yg ditunjukkan oleh semua adalah satu sikap yg cukup positif dan kita harus kekalkan dalam perlawanan-perlawanan akan datang," kata Ong.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC Nenad Bacina berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun tewas.

"Saya rasa kami mengawal kebanyakan permainan terutamanya separuh masa kedua. Kami mempamerkan permainan yang sangat bagus dan cemerlang dan kami mendahului menerusi pemain muda Haqimi. Kami perlu meneliti semula rakaman video untuk menganalisis kesilapan yang berlaku," katanya.

Kira-kira 6,566 penonton hadir menyaksikan perlawanan.

Media Baharu