fb fb fb fb fb

JDT semakin hampiri gelaran ke-10 Liga Super

(Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi mengasak pemain Perak FC Muhamad Afif Asyraf Mohamad
Zabawi pada perlawanan Liga Super/BERNAMA)

JOHOR BAHRU, 13 Ogos- Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut apabila mudah menundukkan Perak 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Keputusan itu juga mengekalkan rekod kemenangan 100% buat JDT dalam kesemua 20 perlawanan setakat ini.

Gol pembukaan dijaringkan pada minit ke-21 menerusi sepakan penyudah Heberty Fernandes, hasil umpanan Endrick Dos Santos yang menerima hantaran Bergson Da Silva.

JDT menambah gol kedua enam minit kemudian menerusi tandukan Matthew Davies yang merupakan gol peribadi pertamanya musim ini.

Kesilapan penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran pada minit ke-35 dihukum Bergson da Silva untuk memastikan JDT memimpin perlawanan 3-0.

Memasuki babak kedua, Oscar Arribas menambah derita Perak selepas menjaringkan gol keempat hasil hantaran Jordi Amat pada minit ke-55.

Perak terus dimalukan pada minit ke-66 apabila sepakan bebas Juan Muniz tepat ke penjuru kanan gawang untuk gol kelima JDT.

Keputusan 5-0 menyaksikan JDT menerajui Liga Super dengan 60 mata manakala Perak di tangga ke-11 mengumpul 16 mata.

Berbaki enam perlawanan, JDT hanya memerlukan dua mata lagi untuk mengesahkan kejuaraan musim ini.

(Bergson Gustavo Silveira Da Silva meraikan jaringan bersama Heberty Fernandes De Andrade
pada perlawanan Liga Super di antara JDT dan Perak FC/BERNAMA)

 

Media Baharu